SEKALIPUN terpaksa menghadiri
mesyuarat penting atau memandu untuk jarak yang jauh, menahan air
kencing bukanlah satu tindakan yang bijak. Air yang ditahan itu hakikatnya
kotoran beracun yang perlu dikeluarkan daripada badan.
Menurut Pakar Urologi, Kesihatan Lelaki
dan Pembedahan Robotik, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr.
Sahabudin Raja Mohamed, menahan diri daripada membuang air kecil akan
memberi kesan negatif kepada kesihatan.
Namun, perkara itu mempunyai kesan
yang berbeza mengikut jantina dan usia.
“Kanak-kanak yang menahan kencing
terlalu lama boleh menyebabkan masalah besar. Tidak kira lelaki mahupun
perempuan, ia boleh meningkatkan kejadian jangkitan saluran kencing.
“Dalam kes yang lebih buruk, ia
akan mengakibatkan inkontinens iaitumasalah hilang kawalan untuk
menahan kencing,” kata Sahabudin.
Masalah itu menyebabkan penghidap
tidak mampu menahan kencing daripada terkeluar sendiri terutamanya ketika
batuk, bersin atau meneran.
Seseorang juga sukar untuk menahan
kencing sehingga dia boleh terkencing di mana-mana sahaja sebelum sempat pergi
ke tandas.
Antara tanda-tanda seseorang itu
mendapat masalah inkontinens adalah sering berasa tidak puas ketika membuang
air kecil atau aliran air kencing yang lemah.
Masalah itu boleh terjadi kepada
mereka yang mengalami kerosakan ginjal, uretra yang tersumbat ataupun kerosakan
saraf akibat diabetes.
Dalam pada itu, Sahabudin
menjelaskan, membuang air kecil sebanyak di antara lima hingga enam kali sehari
merupakan situasi yang normal.
Namun, mereka yang membuang air
kecil melebihi lapan kali sehari menunjukkan keadaan yang sebaliknya.
“Kencing kurang daripada lapan
kali sehari merupakan keadaan yang normal. Urin mereka akan berwarna jernih
seperti air paip,” ujarnya.
Pundi
kencing yang berfungsi secara normal ditunjukkan apabila seseorang membuang air
kecil dalam tempoh tiga hingga empat jam sekali iaitu tidak lebih lapan kali
sehari.
Mereka yang normal akan membuang
air kecil hanya sekali pada waktu malam.
Jelas
Sahabudin lagi, mengurangkan minum air masak bagi mengelakkan seseorang itu
kerap ke tandas adalah satu tindakan yang salah.
Mereka tidak seharusnya
mengurangkan pengambilan air kerana bahan tersebut penting kepada tubuh bagi
mengelakkan dehidrasi.
“Jangan
mengurangkan kuantiti air yang diminum. Sebaliknya pergilah berjumpa dengan
doktor untuk mengatasi masalah itu.
“Jika terdapat jangkitan, pesakit
perlu dirawat terutamanya mereka yang mengalami pundi kencing terlalu aktif,”
katanya lagi.
Antara
tanda kencing terlalu aktif adalah sukar menahan kencing, kencing tidak puas,
pergi ke tandas melebihi 10 kali sehari dan berlaku kebocoran jika menahannya.
Masalah ini boleh terjadi lebih
kerap dalam kalangan wanita muda. Seseorang yang menghadapi masalah ini akan
membuang air lebih daripada 10 kali sehari serta tidak dapat menahan kencing.
Antara
kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah itu adalah senaman otot
untuk mengawal kencing, latihan pundi kencing dan penggunaan ubatan.
Jelas
Sahabudin, masalah tersebut sering berlaku akibat kesibukan kerja yang
mengundang masalah malas ke tandas selain ketiadaan kemudahan tandas yang
bersih.
Sementara
itu, melakukan aktiviti seperti memandu sambil menahan air kencing boleh
mengundang bahaya. Perbuatan menahan kencing didapati mempunyai kesan yang sama
dengan keracunan alkohol atau tidak tidur selama 24 jam secara berterusan.
“Apabila
manusia sampai kepada titik kesakitan, mereka tidak mampu berfikir dan membuat
keputusan lagi. Ia sama seperti mabuk,” kata profesor neurologi di Universiti
Brown di Providence , Pulau Rhode, Amerika Syarikat (AS), Peter Snyder.
No comments:
Post a Comment